Thursday 15 October 2015

MY TEACHING AND LEARNING PHILOSOPHY

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
FALSAFAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAYA
Setiap guru pastinya mempunyai falsafah ataupun pemikiran tersendiri dalam bidang pendidikan. Cara terbaik bagi saya untuk menghuraikan falsafah pengajaran saya adalah dengan mengatakan bahawa saya suka serta berminat untuk mengajar. Matlamat pertama saya dalam bidang pendidikan ini adalah untuk membina hubungan dengan pelajar saya melalui cara mengingati setiap nama dan serba sedikit tentang latar belakang mereka. Saya percaya dengan itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah.
Tambahan pula, aspek yang paling penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah untuk berseronok dan berasa selesa di dalam kelas. Hal ini kerana ia boleh menarik minat pelajar untuk datang ke sekolah dan menikmati bahan pengajaran saya. Selain itu, saya akan memastikan di dalam kelas saya akan ada banyak pembelajaran interaktif yang melibatkan komunikasi antara pelajar dan guru, perbincangan kumpulan atau tutorial, pembentangan kelas, persembahan video, kerja amali dan pendekatan penyelesaian masalah. Dengan cara ini, aktiviti yang berpusatkan pelajar sekali gus akan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dan kondusif. Ironinya, para pelajar tidak akan berasa bosan dan lebih fokus ketika berada di dalam kelas serta cara ini juga dapat membantu untuk menerapkan minat mereka terhadap subjek yang saya ajar.
Selain itu, penyediaan serta pendedahan awal tentang bidang kerjaya adalah satu lagi aspek yang saya rasa semua pelajar mesti belajar pada peringkat sekolah lagi. Justeru, saya akan membantu para pelajar saya untuk membina kemahiran, keyakinan diri dan komunikasi dengan cara di mana setiap pelajar haruslah sentiasa mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran di dalam kelas. Cara ini akan dijadikan sebagai persediaan kepada mereka apabila tamat alam persekolahan seterusnya dapat melangkah dengan yakin ke alam pekerjaan atau pun ke alam pendidikan yang lebih tinggi.
Saya mesti tahu apa yang patut diajar dan cara terbaik yang mesti dilakukan semasa mengajar supaya pengajaran dan pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pendidik harus tahu mengenali pelajarnya dengan baik. Saya mesti sentiasa beringat bahawa pelajar datang ke kelas untuk belajar bermula dari yang asas sebelum mencapai peringkat yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan pelajar menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari. Saya harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh pelajar dan pelajar juga harus mendapat pengalaman baru, penerangan dan kemahiran.
Seterusnya, sebagai guru saya haruslah menyediakan keadaan kuliah atau bilik darjah yang menyeronokkan dan menggembirakan. Jadi, bagi menyediakan keadaan kelas yang selesa dan keadaan pembelajaran yang aktif saya akan cuba untuk memecahkan kuliah ke dalam masa yang singkat. Hal ini kerana menurut kajian, pelajar hanya boleh memberi tumpuan pada jam pertama kuliah atau sesi pembelajaran. Bagi mengelakkan pelajar tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, saya akan memberi kebenaran untuk mereka minum air atau pun meregangkan badan ketika sesi pembelajaran sedang dijalankan.
Saya percaya sebagai seorang guru, mengajar adalah ‘core business’ yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan penuh keikhlasan untuk mendidik anak-anak bangsa dari semua peringkat umur tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan mereka. Seorang guru yang cemerlang adalah guru yang mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap mata pelajaran yang diajar sebagaimana yang terdapat di dalam teori pedagogi. Seorang pendidik juga mesti membuat pilihan yang terbaik tentang apa dan bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran sebagaimana yang dikehendakkan di dalam kurikulum. Untuk melaksanakan apa yang telah dicita-citakan.
Membaca, menulis dan mengira adalah kemahiran asas yang perlu dikembangkan. Seorang pelajar harus mampu untuk mengembangkan idea dengan penuh potensi diri supaya boleh menghubungkan diri mereka dengan persekitaran. Kemahiran asas ini bertujuan menjadi pegangan untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.
Peranan seorang guru adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu mengalakkan pelajar menjadi pelajar yang boleh berdikari di dalam kelas. Walaubagaimanapun, saya sedar pelajar belajar dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan pelajar di dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah dan strategi pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Teknologi penting sebagai medium perantara sejak ia diperkenalkan kerana ini boleh menjadi alat bantu mengajar di dalam mempelbagaikan corak pengajaran. Ia boleh mengalakkan lagi penglibatan pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Melalui pengajaran saya, pelajar boleh mendapat pengalaman secara berterusan melibatkan komputer dan teknologi maklumat. Saya juga percaya teknologi mesti digunakan untuk pembelajaran yang lebih baik dan berkesan. Internet juga merupakan salah satu perkara penting untuk mencapai konsep komuniti secara global.
Saya bertanggungjawab dalam menjalinkan perhubungan dengan pelajar. Saya perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan semua pelajar di dalam kelas mahupun di luar kelas. Saya juga perlu menghormati semua pelajar tanpa memilih bangsa, warna kulit, jantina, individu istimewa malahan warganegara asing.
Saya percaya semua pelajar berupaya untuk belajar dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kelas. Setiap pelajar boleh membawa perubahan di dalam suasana kelas yang harmonis dan sejahtera. Pembelajaran di dalam kelas adalah proses yang saling berkaitan. Saya mesti komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan untuk menjadikan mata pelajaran yang diajar menyeronokkan dan menghiburkan.
Saya mesti membuat penilaian terhadap hasil kerja anak didik saya dengan cara formatif dan sumatif. Saya juga mesti memastikan penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kelas. Saya percaya penglibatan yang tinggi menjadi panduan terhadap pembelajaran yang bermakna dan saya dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan mengalakkan penglibatan pelajar di dalam kelas.
Saya percaya kemahiran untuk menjadi guru yang berkesan boleh dibentuk. Penyeliaan mengajar dan kursus di dalam perkhidmatan menjadi panduan untuk meningkatkan tahap profesiensi saya. Saya mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas untuk menjadi guru yang cekap. Walaupun menjadi guru yang cekap merupakan tugas yang sukar namun saya mesti menerima tanggungjawab seorang guru sebagai suatu cabaran. Saya akan membuktikan bahawa usaha saya mendidik dan mengajar adalah berbaloi dan tidak mengharapkan sebarang ganjaran.
Secara ringkas, saya percaya bahawa untuk menjadi seorang pendidik yang berdedikasi dan berjaya, saya perlu menjadikan mengajar sebagai salah satu hobi. Hal ini kerana apabila sesuatu perkara itu telah dijadikan sebagai hobi, semestinya kita akan berasa selesa dan gembira untuk melakukan pekerjaan tersebut. Saya berharap suatu hari nanti, saya boleh menjadi seorang guru yang berdisiplin serta disukai oleh para pelajar. Sekiranya demikian, pelajar akan berasa selesa untuk masuk ke kelas saya dan gembira semasa proses pembelajaran.

No comments:

Post a Comment