Sunday 6 December 2015

teratak ayahtok911: ABOUT ME

teratak ayahtok911: ABOUT ME: Assalamu'alaikum w.b.t. • Shamsudin Bin Jusoh @ Yusof • Dilahirkan pada 7 Jun 1970 • Berasal dari Batu Rakit, Kuala Tere...

Thursday 26 November 2015

SCHOOL IN THE 'CLOUD'

Latar Belakang Sekolah ‘Cloud’ Konsep sekolah 'cloud' yang diusulkan oleh Profesor Sugata Mitra dalam persidangan TED Global di Edinburgh, Scotland berjaya mendapat dana berjumlah US$1juta, untuk digunakan bagi mewujudkan sekolah 'cloud' yang dirancang. Sebagai langkah awal dia merancang untuk mendirikan lima buah sekolah cloud, iaitu tiga di India dan dua di England. Sekolah cloud pada dasarnya adalah sekolah tanpa guru. Ia diperlukan kerana di kebanyakan tempat masalah kekurangan guru atau kualiti guru yang rendah sering timbul. Sekolah yang dibangunkan oleh Prof Sugata Mitra ini amat berbeza dengan sekolah konvensional di mana sekolah ini disediakan dengan beberapa komputer dan satu layar lebar yang membolehkan moderator/guru memberi arahan kepada para pelajar berdasarkan aplikasi Skype. Menurut beliau meskipun ada moderator/guru semasa proses pembelajaran, namun para pelajar secara umum mampu menguruskan sendiri pembelajaran dan interaksi mereka. Moderator/guru terdiri daripada golongan pesara. Sebarang aktiviti pembelajaran disampaikan oleh moderator dari England akan berhubung dengan pelajar di India menggunakan aplikasi Skype. Faktor galakan dan sokongan adalah sangat penting di dalam proses pembelajaran seperti yang ditekankan oleh Prof Sugata Mitra. Komputer yang diberikan itu tidak dilengkapi dengan manual. Jadi para pelajar perlu meneroka sendiri dan semuanya bergantung kepada keupayaan mereka dalam kemahiran ICT. Isu dan Cabaran Sekolah ‘Cloud’ di Malaysia. Pendekatan “School in the Cloud” merupakan satu medium yang berkesan dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajran di Malaysia setaraf dengan negara maju seiring keperluan pendidikan abad ke 21.

Pelajar masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamnya peningkatan kos hidup dan kesempitan masa. Mereka sering dibebankan dengan tugasan daripada guru di mana memerlukan banyak perbelanjaan seperti kertas, alat tulis dan bahan rujukan. Dengan pengenalan konsep “School in the Clould” pastinya dapat memberi berita gembira kepada pelajar dari segi keharmonian perbelanjaan mereka apabila tiada lagi peruntukan yang besar dibekalkan bagi memperoleh bahan mentah bagi menyiapkan tugasan yang diberikan.

Sebarang bentuk penilaian dan perkongsian pengetahuan antara guru dengan pelajar dapat dilakukan tanpa kertas hanya berteraskan perkongsian pengetahuan di maya. Namun, ini bukannya isu yang sebenar. Konsep “School in the Cloud” secara asasnya mampu menjadikan sistem pendidikan di Malaysia lebih terbuka. Setiap pelajar mempunyai peluang dan akses yang sama dalam mendapatkan pengetahuan daripada pendidik. Setiap pelajar mampu mengakses pendidikan di serata tempat tanpa melibatkan formaliti yang sangat rigid. Melalui konsep ini, pelajar di Malaysia yang mempunyai potensi yang luas adalah bebas untuk mengembangkan bakat masing-masing secara fleksibel. Mereka hanya perlukan keazaman serta peluang proses pengajaran dan pembelajaran yang bebas tanpa had umur dan limitasi terhadap pembelajaran dalam bilik darjah yang formal. Namun begitu perlaksanaan konsep ini mempunyai kekangan untuk dilaksanakan di Malaysia secara menyeluruh. Situasi di Malaysia dilihat mempunyai jurang pendidikan yang luas melibatkan pelajar bandar, luar bandar dan pedalaman. Jika konsep “School in the Cloud” di Malaysia, pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat iaitu dengan membetulkan minda rakyat Malaysia agar bercirikan minda kelas pertama. Pelajar perlu dididik terlebih dahulu dari segi penerapan nilai murni dalam pembelajaran agar lebih berdikari di dalam mendapatkan pengetahuan tanpa secara totalnya bergantung kepada guru. Jika perkara ini dapat diatasi, pastinya pendekatan konsep “School in the Cloud” dapat diimplementasikan dengan lebih efisien di Malaysia. Selain itu penambahbaikan dari segi infrastrukstur ICT di Malaysia perlu dipertingkatkan. Ini kerana jika ada sesetengah tempat yang tidak mempunyai capaian internet maka konsep “School in the Cloud’ tidak dapat diaplikasikan. Kos-kos pelaksanaan konsep ini akan rugi kerana walaupun ada peralatan dan kemudahan tetapi sumber utama iaitu internet tidak dapat dicapai. Pemantauan pelaksanaan sistem ini sangat penting. Jika tiada pemantauan mungkin konsep pembelajaran “School in the Cloud” tidak akan tercapai dengan sempurna. Pihak yang berwajib perlu meningkatkan pemantauan penggunaan ICT di Malaysia kerana tahap vendalisme di Malaysia agak tinggi. Oleh itu, jika kita menempatkan peralatan ICT tanpa pemantauan, kemungkinan peralatan tersebut akan dirosakkan. Perkara ini boleh membebankan negara kerana peralatan rosak bukan kerana digunakan tetapi dimusnahkan dengan sengaja.

Tambahan pula, sistem pendidikan di Malaysia telah mengalami beberapa transformasi dan perubahan. Seperti yang sedia maklum, sistem pendidikan sekarang telah memasuki fasa pelan pembangunan yang baharu iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Induk Malaysia (PPPIM). Konsep pelan ini telah memberi penekanan daripada konsep 3M kepada 4M yang memfokuskan konsep penaakulan dan kemahiran berbahasa. Memandangkan konsep 1Malaysia yang melibatkan beberapa kaum yang menjadikan Malaysia sebagai satu bangsa baharu, maka pelajar sekolah perlu diberi pengetahuan dan ilmu tentang kepelbagaian kaum dan adat di Malaysia ini.

BAHAN PENGAJARAN SSI3013



SMART SCHOOL DOCUMENT REVIEW



ABOUT ME



MY TEACHING AND LEARNING PHILOSOPHY



WORD SEARCH 1



WORD SEARCH 2



CROSSWORD PUZZLE



WORD SCRAMBLE 1



WORD SCRAMBLE 2



CONCEPT MAP



SCHOOL IN THE "CLOUD'



RANCANGAN MENGAJAR SIMULASI



REFLEKSI PEMBANGUNAN BLOG

REFLEKSI PEMBANGUNAN BLOG

Blog merupakan catatan atau jurnal individu yang boleh mengkombinasikan teks, imej dan video.  Ia merupakan salah satu teknologi baru yang memainkan peranan yang besar dalam membentuk persekitaran penulisan.  Blog merupakan jurnal di dalam talian di mana seseorang individu dapat mengemaskini secara berterusan dengan perkataan sendiri, idea dan pemikiran melalui perisian yang membolehkan seseorang itu mudah untuk berbuat demikian.  Keistimewaan blog terletak pada ciri interaktifnya di mana pembaca boleh memberi komen dan pandangan terhadap apa-apa kemasukan penulisnya.

Ketika membangunkan blog saya cuba untuk membuat segala pautan alamat laman sesawang bagi memudahkan segala urusan terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan segala 'e-' yang diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Melaysia bagi kegunaan guru-guru dan murid-murid.  Sebagai contoh Sistem Pengurusan Sekolah (SSO) https://sps1.moe.gov.my/indexsso.php, Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah https://sapsnkra.moe.gov.my/access-denied.php, e-penyata gaji http://www.anm.gov.my/, dan sebagainya.  Apabila pautan ini dimasukkan ke dalam laman blog saya, guru-guru tidak perlu lagi untuk mencari alamat laman sesawang ini yang mana kadang-kadang guru tidak mengetahui cara-cara untuk mendapatkan alamat laman sesawang yang betul atau sebenarnya.  Guru-guru hanya perlu klik pada pautan dan boleh klik mana-mana laman yang diperlukan.  Perasaan gembira akan timbul pada diri saya apabila hasil yang saya buat dapat dimanfaatkan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar.

Banyak perkara yang saya pelajari semasa membangunkan blog ini. Memandangkan saya bukanlah pakar dalam pembinaan laman web atau blog, banyak perkara saya pelajari dari isteri, pensyarah dan juga dari youtube.  Antara pengetahuan baru yang saya pelajari seperti seperti membuat link, menu bar, gadget, memasukkan bahan video, gambar dan sebagainya.  Jika tidak ada kursus SSI3013 ini mungkin saya tidak akan mempelajari perkara-perkara sebegini walaupun saya mempunyai asas serba sedikit dalam pembangunan blog.

Pelbagai cabaran yang dihadapi ketika membangunkan blog ini.  Antara cabaran yang paling ketara sekali adalah dari segi kekangan masa.  Memandangkan saya adalah Bendahari PIBG, banyak perkara yang perlu saya selesaikan terutamanya pada hujung tahun seperti ini.  Bagi memastikan kemaskini laman web ini berjalan dengan lancar, saya memerlukan masa yang mencukupi.  Jika kemaskini dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa, pembangunan laman web atau blog menjadi tidak cantik dan orang atau pengunjung yang melihatnya juga akan melihatnya seolah-olah sebuah laman web atau blog yang tidak mempunyai matlamat.

Daripada sudut pendidikan, teknologi ini dilihat sebagai mempunyai potensi untuk meningkatkan penglibatan pelajar dan menyediakan persekitaran bagi kerjasama dan pembinaan pengetahuan.  Ini kerana blog membolehkan pelajar untuk menulis dan berkongsi pendapat mereka terhadap pelbagai isu dan mengulas mengenai apa yang mereka telah membaca dengan pembaca dari seluruh dunia.  Blog boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

•  Blog tutor, yang boleh digunakan oleh guru bagi menyusun kandungan kursus mata pelajarannya;

•  Blog kelas, yang digunakan oleh guru untuk mengendalikan kelas dan melibatkan pelajar; dan

•    Blog pelajar, yang digunakan oleh pelajar secara bersendirian atau berkumpulan.


Kelebihan blog yang boleh diaplikasikan dalam pendidikan, antaranya:

•   Menggalakkan pemikiran kritikal dan analitikal;

•   Menyediakan ruang dalam pemikiran kreatif dan intuitif;

•   Menggalakkan pemikiran analogi;

•   Sebagai medium untuk meningkatkan akses dan mendedahkan pelajar kepada maklumat yang berkualiti, dan

•   Merupakan gabungan terbaik di dalam refleksi secara bersendirian dan interaksi sosial.

Blog berupaya menyokong pembelajaran aktif kerana kemampuannya menghubungkan ramai pengguna dalam sesuatu masa.  Pelajar-pelajar mengakui bahawa penggunaan blog dapat meningkatkan pembelajaran mereka serta membantu memahami tentang sesuatu hasil pembelajaran dengan lebih berkesan.  Blog mampu meningkatkan teknik penulisan pelajar kerana pelajar perlu berfikir dan menyusun isi-isi penting dengan teliti supaya dapat difahami oleh pengguna blog yang lain.  

Selain itu, blog juga dapat membantu guru dan pelajar mengatasi beberapa halangan yang biasa dalam pembelajaran secara bersemuka.  Pertama ia dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk berbincang dan berkongsi pendapat bersama rakan-rakan dengan lebih mudah dan menarik kerana blog membolehkan pelajar berkongsi bukan sahaja teks, tetapi juga gambar mahupun video.  Guru juga boleh mengarah pelajar untuk melawati sesuatu laman sesawang berkaitan menggunakan pautan-pautan blog yang sesuai bagi menjelaskan lagi sesuatu situasi yang berkaitan dengan mata pelajaran ini.  Secara tidak langsung, blog sebagai medium pembelajaran dapat membantu pelajar supaya lebih memahami tentang isu yang dibincangkan.

Blog juga bertindak sebagai ruang alternatif kepada pelajar bagi melibatkan diri secara aktif untuk menjawab soalan-soalan berkaitan topik pembelajaran.  Guru akan mengemukakan soalan untuk dibincangkan dalam blog dan pelajar akan menjawabnya dalam ruangan disediakan.  Mereka juga dapat membaca dan membandingkan jawapan mereka dengan jawapan pelajar-pelajar lain atau memberikan komen atau ulasan terhadap jawapan tersebut.  

Pembelajaran secara kolaboratif di alam maya mampu membantu pelajar meningkatkan pemahaman dan pencapaian berbanding kaedah “chalk and talk” yang sinonim dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran.  Maklum balas yang cepat dapat mengatasi masalah kekangan masa.  Guru juga tidak dapat menerangkan dengan lebih lanjut persoalan yang diutarakan pelajar di dalam kelas.  Penggunaan blog boleh mengatasi masalah ini di mana pelajar-pelajar boleh mengutarakan soalan-soalan mereka di dalam blog yang dikhususkan untuk kelas mereka dan guru atau pelajar lain akan menjawabnya.  

Kesan daripada penggunaan blog yang boleh kita lihat di sini ialah ia membolehkan sesuatu maklum balas dilakukan dengan pantas tanpa perlu menunggu jawapan guru di masa pengajaran berikutnya.  Guru juga boleh mempamerkan markah atau keputusan peperiksaan pelajar di dalam blog.  Cara ini membolehkan pelajar menyemak pencapaian mereka dengan mudah seterusnya dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar kerana mereka dapat membandingkan pencapaian mereka dengan pelajar yang lain. Secara tidak langsung guru dan pelajar boleh berkolaboratif bersama-sama dalam meningkatkan pencapaian antara satu sama lain.

Kesimpulannya, blog bukan sahaja menjadi alat kolaboratif kerana struktur blog yang membolehkan kita membuat catatan dan ulasan secara individu, tetapi juga membolehkan komen dan ulasan dibuat dalam bentuk berkumpulan.  Ciri ini menyebabkan blog berpotensi sebagai medium untuk menggalakkan proses sosio-konstruktivis dalam situasi pengajaran dan pembelajaran.


Friday 16 October 2015

SMART SCHOOL DOCUMENT REVIEW

PENGENALAN
Sekolah Bestari (Smart School) merupakan satu konsep sekolah di Malaysia. Konsep ini akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan.
Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknologi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Untuk menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam perkhidmatan. Bagi sekolah-sekolah bestari yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.
PERKEMBANGAN
Sekolah Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari adalah salah satu 'flagship' dalam Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilaksanakan menjelang tahun 2000. Tahun 1999 sebanyak 87 buah sekolah termasuk sekolah-sekolah Asrama Penuh dan sekolah pilihan harian biasa telah dipilih untuk melaksanakan Sekolah Bestari.
ASPEK PENTING
Tiga aspek penting harus ditangani dalam pelaksanaan Sekolah Bestari iaitu:
i. Menyediakan infrastruktur pelbagai media.
ii. Latihan bagi guru-guru amat penting.
iii. Bahan kursus yang baru, kemaskini, dan mencukupi perlu disediakan.
KONSEP SEKOLAH BESTARI
Pada tahun 1996, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggubal konsep Sekolah Bestari berpusatkan pengajaran dan pembelajaran berpemikiran kritis dan kreatif. Teknologi sebagai pengupaya menjadi komponen penting dalam konsep Sekolah Bestari apabila Projek Sekolah Bestari diwujudkan sebagai satu daripada Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia.
Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara menyeluruh dan segi proses pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu murid menghadapi cabaran Zaman Maklumat. Proses pengajaran-pembelajaran, iaitu proses berkaitan dengan kurikulum, pedagogi, pentaksiran, dan bahan pengajaran-pembelajaran, akan direka semula untuk membantu murid belajar dengan lebih berkesan dan cekap. Sekolah Bestari akan mendorong murid mengamalkan pembelajaran akses kendiri dan terarah kendiri, serta mengikut kadar pembelajaran sendiri.
OBJEKTIF SEKOLAH BESTARI
Objektif Sekolah Bestari Malaysia adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan terdiri daripada yang berikut:
• Menghasilkan tenaga kerja yang berpemikiran dan celik teknologi
• Mendemokrasikan pendidikan
• Meningkatkan penyertaan pihak yang berkepentingan
• Memupuk perkembangan menyeluruh individu
• Memberi peluang untuk peningkatan kekuatan dan keupayaan individu
KEGAGALAN SEKOLAH BESTARI
Kajian yang dijalankan terhadap guru-guru bagi sekolah yang menyertai Sekolah Bestari menyatakan bahawa latihan dalaman guru-guru mata pelajaran adalah kurang berjaya dalam mencapai objektif. Majoritinya menyatakan latihan dalah tidak mencukupi dalam membantu guru-guru mengaplikasikan prinsip SSIS.
Kekurangan dalam latihan terhadap guru-guru yang baru seperti guru yang baru ditempatkan di Sekolah Bestari berkenaan juga merupakan satu masalah.
Penyelaras program ini kadang-kadang tenggelam timbul bila guru-guru menghadapi masalah.
Kebanyakan sekolah melaporkan bahawa kelengkapan di dalam makmal komputer juga tidak lengkap dan tidak mencukupi bagi kegunaan pelajar. Masalah perkakasan yang berkaitan dengan LAN, internet dan sebagainya.
Telekom Malaysia menjadi kontraktor utama membekalkan infrastruktur telekomunikasi kepada Projek SchoolNet yang terdiri daripada perkakasan, perisian, perisian sistem dan peralatan bukan-IT melalui anak syarikat Telekom SmartSchool Sdn. Bhd.
Talian SchoolNet yang dibekalkan mengalami banyak masalah terutama capaian internet. Capaian internet dikatakan kerap terganggu, terputus beberapa kali sehari menjadi perkara biasa ditambah pula dengan kelembapan untuk melayari internet.
Mulai tahun 2012, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menamatkan perkhidmatan talian SchoolNet secara berperingkat. Selepas itu, kerajaan menganugerahkan projek 1BestariNet kepada YTL Communications Sdn. Bhd. untuk menyediakan akses internet dan pembelajaran maya. Talian yang menggunakan teknologi 4G atau tanpa wayar telah diperkenalkan ke seluruh negara. Semasa pengujian pada bulan Mac 2012 kelajuan sungguh luar biasa. Tetapi kemudiannya kelajuan capaian internet kerap terputus. Apabila hujan, ia tidak dapat digunakan. Malah, ianya lebih teruk daripada zaman SchoolNet.
KESIMPULAN
Secara peribadinya, saya sangat setuju dengan pelaksanaan Sekolah Bestari ini sekiranya pihak yang telah dipertanggungjawabkan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Ini sangat membantu pelajar-pelajar bagi menghadapi suasana pembelajaran masa kini dan ke hadapan. Namun begitu, kegagalan pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan tanggungjawabnya menyebabkan berlakunya kegagalan seperti ini dan sangat merugikan pelajar-pelajar kita sedangkan kos dan perbelanjaan sangat banyak telah dibelanjakan.

Thursday 15 October 2015

MY TEACHING AND LEARNING PHILOSOPHY

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
FALSAFAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAYA
Setiap guru pastinya mempunyai falsafah ataupun pemikiran tersendiri dalam bidang pendidikan. Cara terbaik bagi saya untuk menghuraikan falsafah pengajaran saya adalah dengan mengatakan bahawa saya suka serta berminat untuk mengajar. Matlamat pertama saya dalam bidang pendidikan ini adalah untuk membina hubungan dengan pelajar saya melalui cara mengingati setiap nama dan serba sedikit tentang latar belakang mereka. Saya percaya dengan itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah.
Tambahan pula, aspek yang paling penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah untuk berseronok dan berasa selesa di dalam kelas. Hal ini kerana ia boleh menarik minat pelajar untuk datang ke sekolah dan menikmati bahan pengajaran saya. Selain itu, saya akan memastikan di dalam kelas saya akan ada banyak pembelajaran interaktif yang melibatkan komunikasi antara pelajar dan guru, perbincangan kumpulan atau tutorial, pembentangan kelas, persembahan video, kerja amali dan pendekatan penyelesaian masalah. Dengan cara ini, aktiviti yang berpusatkan pelajar sekali gus akan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dan kondusif. Ironinya, para pelajar tidak akan berasa bosan dan lebih fokus ketika berada di dalam kelas serta cara ini juga dapat membantu untuk menerapkan minat mereka terhadap subjek yang saya ajar.
Selain itu, penyediaan serta pendedahan awal tentang bidang kerjaya adalah satu lagi aspek yang saya rasa semua pelajar mesti belajar pada peringkat sekolah lagi. Justeru, saya akan membantu para pelajar saya untuk membina kemahiran, keyakinan diri dan komunikasi dengan cara di mana setiap pelajar haruslah sentiasa mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran di dalam kelas. Cara ini akan dijadikan sebagai persediaan kepada mereka apabila tamat alam persekolahan seterusnya dapat melangkah dengan yakin ke alam pekerjaan atau pun ke alam pendidikan yang lebih tinggi.
Saya mesti tahu apa yang patut diajar dan cara terbaik yang mesti dilakukan semasa mengajar supaya pengajaran dan pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pendidik harus tahu mengenali pelajarnya dengan baik. Saya mesti sentiasa beringat bahawa pelajar datang ke kelas untuk belajar bermula dari yang asas sebelum mencapai peringkat yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan pelajar menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari. Saya harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh pelajar dan pelajar juga harus mendapat pengalaman baru, penerangan dan kemahiran.
Seterusnya, sebagai guru saya haruslah menyediakan keadaan kuliah atau bilik darjah yang menyeronokkan dan menggembirakan. Jadi, bagi menyediakan keadaan kelas yang selesa dan keadaan pembelajaran yang aktif saya akan cuba untuk memecahkan kuliah ke dalam masa yang singkat. Hal ini kerana menurut kajian, pelajar hanya boleh memberi tumpuan pada jam pertama kuliah atau sesi pembelajaran. Bagi mengelakkan pelajar tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, saya akan memberi kebenaran untuk mereka minum air atau pun meregangkan badan ketika sesi pembelajaran sedang dijalankan.
Saya percaya sebagai seorang guru, mengajar adalah ‘core business’ yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan penuh keikhlasan untuk mendidik anak-anak bangsa dari semua peringkat umur tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan mereka. Seorang guru yang cemerlang adalah guru yang mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap mata pelajaran yang diajar sebagaimana yang terdapat di dalam teori pedagogi. Seorang pendidik juga mesti membuat pilihan yang terbaik tentang apa dan bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran sebagaimana yang dikehendakkan di dalam kurikulum. Untuk melaksanakan apa yang telah dicita-citakan.
Membaca, menulis dan mengira adalah kemahiran asas yang perlu dikembangkan. Seorang pelajar harus mampu untuk mengembangkan idea dengan penuh potensi diri supaya boleh menghubungkan diri mereka dengan persekitaran. Kemahiran asas ini bertujuan menjadi pegangan untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.
Peranan seorang guru adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu mengalakkan pelajar menjadi pelajar yang boleh berdikari di dalam kelas. Walaubagaimanapun, saya sedar pelajar belajar dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan pelajar di dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah dan strategi pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Teknologi penting sebagai medium perantara sejak ia diperkenalkan kerana ini boleh menjadi alat bantu mengajar di dalam mempelbagaikan corak pengajaran. Ia boleh mengalakkan lagi penglibatan pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Melalui pengajaran saya, pelajar boleh mendapat pengalaman secara berterusan melibatkan komputer dan teknologi maklumat. Saya juga percaya teknologi mesti digunakan untuk pembelajaran yang lebih baik dan berkesan. Internet juga merupakan salah satu perkara penting untuk mencapai konsep komuniti secara global.
Saya bertanggungjawab dalam menjalinkan perhubungan dengan pelajar. Saya perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan semua pelajar di dalam kelas mahupun di luar kelas. Saya juga perlu menghormati semua pelajar tanpa memilih bangsa, warna kulit, jantina, individu istimewa malahan warganegara asing.
Saya percaya semua pelajar berupaya untuk belajar dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kelas. Setiap pelajar boleh membawa perubahan di dalam suasana kelas yang harmonis dan sejahtera. Pembelajaran di dalam kelas adalah proses yang saling berkaitan. Saya mesti komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan untuk menjadikan mata pelajaran yang diajar menyeronokkan dan menghiburkan.
Saya mesti membuat penilaian terhadap hasil kerja anak didik saya dengan cara formatif dan sumatif. Saya juga mesti memastikan penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kelas. Saya percaya penglibatan yang tinggi menjadi panduan terhadap pembelajaran yang bermakna dan saya dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan mengalakkan penglibatan pelajar di dalam kelas.
Saya percaya kemahiran untuk menjadi guru yang berkesan boleh dibentuk. Penyeliaan mengajar dan kursus di dalam perkhidmatan menjadi panduan untuk meningkatkan tahap profesiensi saya. Saya mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas untuk menjadi guru yang cekap. Walaupun menjadi guru yang cekap merupakan tugas yang sukar namun saya mesti menerima tanggungjawab seorang guru sebagai suatu cabaran. Saya akan membuktikan bahawa usaha saya mendidik dan mengajar adalah berbaloi dan tidak mengharapkan sebarang ganjaran.
Secara ringkas, saya percaya bahawa untuk menjadi seorang pendidik yang berdedikasi dan berjaya, saya perlu menjadikan mengajar sebagai salah satu hobi. Hal ini kerana apabila sesuatu perkara itu telah dijadikan sebagai hobi, semestinya kita akan berasa selesa dan gembira untuk melakukan pekerjaan tersebut. Saya berharap suatu hari nanti, saya boleh menjadi seorang guru yang berdisiplin serta disukai oleh para pelajar. Sekiranya demikian, pelajar akan berasa selesa untuk masuk ke kelas saya dan gembira semasa proses pembelajaran.